Ragam Ramadhan Masa Kecil Dulu

-Niat Puasa dengan Lagu Raihan-

Semuanya lebih fun dan mudah melekat dalam kepala dengan lagu. Selain doa-doa harian yang dilagukan oleh kumpulan Tilmiz, niat puasa juga telah dilagukan untuk menarik minat kanak-kanak untuk mengikutnya. Terima kasih kepada kumpulan nasyid Raihan sebab dengan lagu niat puasa yang catchy dan lengkap sekali penerangan tentang puasa.


-Makan Sahur sambil Pejam Mata-

Jam 5 pagi nanti mama akan kejut untuk turun sahur. Liatnya bukan main lagi, tapi turun juga sebab takut lapar esok hari. Maklumlah semangat berkobar nak puasa full demi 'kachingggg $$$' yang abah janjikan untuk siapa yang puasa full. Maklumlah bebudak lagi masa tu. Sahur wajib makan, tapi tak janji la makan sambil terjaga. Kadang-kadang mata tu rapat je tertutup sambil makan.

-Jadi Tahanan Sebelum Subuh-

Selagi belum azan Subuh kami menjadi tahanan di ruang tamu. Tidak dibenarkan untuk naik ke bilik sebab nanti tertidur tak sembahyang Subuh. Hahaha. Masa jadi tahanan ni mata mulalah cerah nak bergosip la, bercerita hantu la, kadang-kadang isi masa dengan membaca komik 'KAWAN', masa tu legend la komik tu.

-Menyaksikan Kawan-kawan 'terlupa' Hari Puasa-

Hahaha cewahhh. Bukan tak mengaku tapi memang aku tak pernah ponteng puasa masa kecil dulu. Sebab 'kachingggg $$$' yang abah janjikan tu tak akan bermakna lah kalau aku ponteng senyap-senyap. Aku pun tak tahu kenapa aku rasa tak bermakna masa tu padahal bebudak je pun. Hahaha tapi kawan-kawan aku kat sekolah tu boleh tahan la jugak menguji iman. Diteguknya selamba depan aku susu RMT yang diorang dapat, gulp gulp gulp aku menahan napsu. Hahah. 

-Tolong Kacau Mak buat Kuih Raya-

Mama suka buat kuih raya waktu malam, memanglah seronok nak menolongnya. Kadang-kadang sambil masukkan dalam balang, sambil masukkan sekali dalam perut. 'Satu untuk balang, satu untuk aku', sudahnya kuih mama pun tiba-tiba jadi susut dengan mendadak. HAHAHA.

-Belajar Anyam Ketupat dari Nenek-

Bab anyam ketupat kami selalu belajar dari Tok (nenek). Sebab Tok power lah bab-bab ketupat ni, maklumlah tangan orang lama, kemas je balutannya. Sedihnya, kami ni hanya mampu merosakkan daun palas tu, sungguh serabai ye hasil kerja aku masa kecik dulu (padahal sekarang pun tak terer-terer lagi, sobss).

-Jalan-jalan Bazaar Ramadhan dengan Atok-

Masa kecil dulu aku setiap hari akan ikut Arwahyarham Wan (atok) aku ke Bazaar Ramadhan naik motor Kriss hijau Wan, heheh. Kadang-kadang kami beli kuih muih, kadang-kadang kami tak beli apa pun, seronok tengok-tengok makanan banyak kat Bazaar. Rindu sangat Arwahyarham Wan & Arwahyarhamah Tok Dah. 

-Berebut Peha Ayam paling Besar Masa Berbuka-

Mama tahu kami semua makan ayam peha sahaja, so mama akan masak pun semua ayam peha. Jangan ingat problem solved sebab nanti masa berbuka ada lagi perang berebut ayam peha yang bersaiz palingggggg besar. Walau secubit lemak pun kami akan teliti betul-betul sebelum cedok supaya pastikan dapat yang paling besar. HAHAHA.

Memang seronok kalau imbas kembali pengalaman berpuasa masa kecil dulu. Terutama bab berbuka, lengkap satu keluarga kat tikar makan tu. Sekarang masing-masing dah besar dan ada komitmen sendiri, jarang sangat nak lengkap lagi kecuali beberapa Ramadhan akhir, itupun kalau ada rezeki lah. 

Apapun semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna. Rebutlah peluang untuk beribadat lebih lagi. Jangan anggap beribadat lebih pada bulan Ramadhan ni satu perkara hipokrit, kerana hanya Allah dapat menilai amalan kita. Kumpullah sebanyak mana pahala yang kita mampu, itu sahajalah mampu buat bekalan kita di SANA nanti, bukan kata-kata orang lain.


Follow