Gembira Sebarkan Aib Orang ?

Kebelakangan ni aku tengok kat laman social ada beberapa hits yang diperkatakan, dicanang orang sana sini, tetapi yang menyedihkan perkara yang disebar-sebar itu adalah keaiban individu lain.

Mula-mula kes video call seorang artis lelaki, kemudian diikuti tersebarnya pula video lain seorang wanita melayu bersama lelaki warga asing. Ini bulan Ramadhan korang, kenapa korang pilih bulan Ramadhan ini untuk dirosakkan dengan penyebaran aib orang lain.

Sedangkan aib kita sendiri pun Allah tak bagi canang rata (of course orang jenis ni aib dia simpan rapat, aib orang dicakap-cakap), apatah pula aib orang lain. “Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.” (Al-Bukhari).

Tambahan pula kalau mereka melakukan dosa dengan Allah, biarlah Allah sahaja yang menghukum mereka. Mana ada orang yang sempurna dalam hidup ni, kadang-kadang kita sendiri pun tersasar dari landasan lurus, tapi kita bernasib baik hanya Allah dan kita saja tahu.

Lainlah kalau video penderaan haiwan ke, kanak-kanak ke, patutlah disebar untuk awareness masyarakat. Biar terjumpa penjenayah tersebut. Tapi kalau video dosanya dengan Tuhan, tutup mata, jangan kongsi, jangan kecam, jangan hina. 

Orang yang suka bercakap tentang aib orang lain ni, sebenarnya cerminan pada hati dia sendiri. Orang begini tak boleh dipercayai, dia tidak amanah memegang rahsia, lemah sifat setiakawan, penggosip tegar, dan boleh jadi pembohong dengan tokok tambah ceritanya. Kalau ada kawan jenis penggosip ni, jauhkan la diri, hari ini dia cakap tentang orang lain, boleh jadi esok lusa kita pula yang jadi topik gosipnya.

”Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (QS. Al Hujurat [49] :12).

Paling menyedihkan bila tersebarnya aib orang itu disaat dia sudah bertaubat. Sedangkan jika Allah sudah mengampuninya, kenapa manusia lain sanggup memalukan orang lain. Dan kita sendiri tak tahu cerita disebalik video berdurasi beberapa minit itu, kenapa sanggup menanggung dosa mengecam dan menghina.

Jadi mulai hari ini aku rasa boleh berhenti dah kot cakap pasal aib orang lain. Baik cermin diri sendiri, takut nanti cela kita pula tersebar rata. Kalau betul pun orang itu ada buruknya, janganlah dilupakan kebaikan dirinya yang lain.

Yang suka menyebarkan aib dan dosa orang tu, ingatlah orang itu dosanya dengan Tuhan. Bila-bila saja taubatnya boleh diterima dan diampuni. Dia boleh jadi lebih suci dari kamu. Tapi dosa kamu menyebarkan aib manusia? Dosa dengan manusia hanya boleh terhapus dengan kemaafan orang yang kamu aniayai.



Follow